As-salam =)
Utusan Malaysia hari ini memaparkan kisah kanak-kanak lemas dipukul ombak deras di Pantai Sepat, Kuantan. Dua mati lemas, tiga terselamat, manakala seorang lagi dalam keadaan yang kritikal. Siapa sangka agenda untuk berkelah dan mandi-manda sekeluarga boleh bertukar menjadi agenda yang terburuk dalam masa yang singkat.
Utusan 23 Januari 2012 |
Lelaki dipercayai ahli keluarga cuba menyelamatkan mangsa |
Apa yang aku cuba sampaikan ialah, adalah perlu untuk sekurang-kurangnya seorang di dalam keluarga itu tahu akan PERTOLONGAN CEMAS! Tetapi, adalah sebaik-baiknya jika kesemuanya mengambil tahu dan lebih prihatin akan cara-cara rawatan ini dilakukan supaya tidak panik. Dalam kes di atas, nasib baik ada juga ahli keluarga yang tahu cara-cara melakukan pertolongan cemas. Sekurang-kurangnya dapat membantu menurunkan tahap panik, terutamanya si ibu. Kalau tidak?
Sebagai bakal guru Pendidikan Jasmani, topik Pertolongan Cemas adalah topik yang wajib dan sebenarnya lebih kepada topik yang diulang. Kertas Diploma dan Ijazah, masing-masing ada menyentuh mengenai topik ini. Dan, tahun lepas juga ada dianjurkan Kursus Pertolongan Cemas yang memuatkan cara-cara untuk melakukan CPR, luka dan balutan, dan lain-lain.
Aku terfikir, walaupun aku sudah pun mengikuti kursus, tapi adakah aku mempraktikkan apa yang diajar? Dalam keadaan panik, bolehkah aku menterjemahkan apa yang aku belajar? Aku jadi was-was. Takut pun ada! Buku panduan pun mungkin masih ada cuma entah ke mana. Sayangnya baru sekarang terbit rasa menyesal.