Wednesday, November 2, 2011

7 orang anak, Umi sejuk perut.

As-salam =)

Siapa tak mahu anak yang soleh dan solehah?


Dalam Al-Quran telah ditulis bahawa, anak adalah punca/sumber rezeki. Aku yakin dengan janji Allah S.W.T. Setiap kelahiran adalah disertai dengan rezeki yang berlipat ganda, cuma rezeki tersebut dalam bentuk apa, wallahu ‘alam. Hanya Allah Maha Mengetahui. Maaf, aku bukan Ustazah. Jauh sekali. Aku masih merangkak-rangkak mendalami ilmu Agama. Aku tak mampu menyatakan ayat tersebut ayat dari surah atau juzuk berapa dan ayat yang ke berapa. Cuma, sebagai hamba-Nya yang lemah dan khilaf, maka yakinlah dengan janji Allah.

Aku ingin kongsi satu kisah yang berkaitan dengan ‘anak sumber rezeki’. Kisah realiti yang sungguh mengharukan. Aku beri judul, ‘7 orang anak, Umi sejuk perut’.

30 Oktober 2011 (Ahad) yang lepas, sebuah sekolah rendah di utara Malaysia telah mengadakan Hari Kantin. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti pada kebiasaannya, seperti gerai jualan makanan dan minuman, pakaian terpakai, perhiasan dan peralatan rumah, persembahan, permainan kecil dan sebagainya. Rasanya tak perlu aku nyatakan nama sekolah. Mama, telah menyumbangkan sejumlah kecil pakaian terpakai seperti blaus, seluar, tudung dan beg tangan kepada gerai ‘Pakaian Muslimah’ yang dikendalikan oleh Cikgu Norida.
Oleh kerana tak bertugas di mana-mana gerai, mama berjalan ke sana ke mari mencari kerja. Sekejap di gerai ini, sekejap di kedai itu, menolong mana-mana yang patut. Tetapi, mama tidaklah pula menolong Cikgu Norida kerana kakitangannya telah cukup. Mama lebih bertindak sebagai pembantu am, apa-apa pun boleh, termasuklah naik turun kereta membantu cikgu-cikgu lain mengambil barang-barang jualan dari kedai.

Berakhir sahaja sesi jualan, mama naik ke Bilik Guru. Niatnya nak berkemas-kemas bersedia untuk balik, tapi di satu sudut mama terpandang akan Cikgu Norida sibuk mengira tiket jualan. Mama menyapa, bertanyakan perihal hasil jualan,

“Macam mana meniaga, Norida? Okay?”, sapa mama.

“Alhamdulillah, semua okay. Tapi minta maaf lah Kak Seri. Barang-barang Kak Seri tu tak untung mana. Tak sampai hati saya nak jual mahal-mahal”, balas Cikgu Norida.

“Tak apalah. I tak kisah pun pasal duit untung tu. Saja nak tahu berapa budak-budak sanggup bagi.”

“Hmm.. beg kuning Kak Seri tu. Tadi saya duk tengok si anak Ustaz Halim tu duk mai dua tiga kali. Duk belek-belek. Saya tanya dia, awak berkenan ke, dia diam je. Pastu duk mai balik. Belek lagi. Dia tanya harga, saya cakap RM5.00. Dia cakap tak cukup duit. Saya habaq, bagi aje la berapa pun yang awak ada. Seikhlas hati. Cikgu jual kat awak beg ni. Saya tengok dia duk pakat-pakat dengan adik-beradik dia, kumpul duit. Dia bagi saya kupon RM3.00. Saya jual ja la. Pastu, depa pi kat Umi depa bagi beg tu.”

Bila aku dengar cerita ni, aku sangat tersentuh. Rasa sejuk perut, seolah-olah aku pula yang mengandungkan mereka. Dari apa yang mama cerita, Ustaz Halim menjawat jawatan sebagai seorang Pegawai Tentera, berjawatan Mejar, manakala isterinya seorang suri rumah sepenuh masa dan dikurniakan 7 orang cahaya mata, setahun seorang. Doktor menasihatkan isterinya untuk terus ikat peranakan kerana boleh mengundang kepada masalah kesihatan akibat terlalu kerap mengandung.

Bersalin, adalah satu perkara yang paling menyakitkan selepas mati. Apabila seseorang wanita itu bersalin, akan terputus satu uratnya. Maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala dosa-dosanya dan mengangkat darjatnya. Jika wanita itu mati, adalah syahid kecil baginya. Allahuakbar! Besarnya ganjaran Allah.

Pendapat peribadi aku, jika aku dikurniakan anak sebaik mereka, aku tak hirau jika aku tak punya harta dunia setinggi gunung sekali pun kerana aku sudah pun punya harta akhirat yang kekal, anak-anak yang soleh dan solehah.

Mama mulakan bicara, “Zaman sekarang ni susah kalau anak ramai. Memang lah laki dia pangkat pegawai, tapi dengan gaji tu nak sara bini dan tujuh orang anak lagi, tak cukup! Belum kira dengan bagi duit kat mak ayah kat kampung lagi, sakit demam lagi, kecemasan apa-apa”.

Tambah mama lagi, “Hangpa yang baru lima beradik yang dah besaq-besaq ni pun aku selalu bersungut duit macam ayaq. Hang nanti dah kahwin, rancanglah keluarga. Susah kalau anak ramai ni.”

Aku percaya setiap anak punya rezeki masing-masing. Sedikit atau banyak, itu bukan soalnya. Itu urusan Allah S.W.T. Aku sendiri punya rancangan bagaimana untuk uruskan keluarga aku nanti. Walaupun baru menginjak ke usia 20-an, aku sudah pun fikirkan benda-benda remeh seperti ni. Apa yang aku rancangkan, tak perlulah aku coretkan kat sini. InsyaAllah, kalau diizinkan hidup sehingga Hari Qiamat, akan terlaksana juga rancangan aku itu.

InsyaAllah.

Wallahu ‘alam. 

I Suggest You Also Read



No comments:

Post a Comment