As-salam =)
Aku ingatkan semakin manusia dilimpahi wang ringgit akan makin sujud kepada Allah S.WT. Sangkaan aku sama sekali meleset! Khamis, 27.10.2011 bersamaan 29 Zulkaedah 1432, aku dan mama telah ke Masjid Permatang Gedong Sg. Petani untuk satu ceramah berkaitan zakat. Dalam ceramah tersebut, Dato’ Ghazali, Setiausaha Bahagian Pungutan Zakat Daerah Kota Kuala Muda ada menyentuh mengenai zakat-zakat yang berjaya dikutip dari umat Islam sekitar daerah ini. Ya Allah. Tak sangka masih ramai yang gagal menunaikan Rukun Islam ke-4! Yang aku ingat dengan jelas mengenai jumlah zakat ialah zakat padi. Dianggarkan sejumlah RM48, 000, 000.00 zakat padi yang sepatutnya diterima Pejabat Zakat, tetapi alangkah sedihnya bila jumlah yang diterima hanya lebih kurang 3% daripadanya sahaja, iaitu sebanyak RM1, 400, 000.00. Dato’ Ghazali ada sebut dalam ceramahnya, “Patutlah Allah S.W.T turunkan bala di Malaysia!”. Aku sangat terkejut! Tiba-tiba rasa menggeletar seluruh badan.
Aku insaf sekejap. Ramai yang tak ambil pusing hal zakat rupanya! Ya Allah. Bak kata Dato’ Ghazali, “Patut la siput gedong duk lapaq makan padi. Banjiaq duk mai ja tenggelamkan bendang. Rupanya tuan tanah lupa bayaq zakat”. Patutlah!
Kata Dato’ Ghazali lagi, kalau nak diikutkan jumlah keseluruhan pungutan zakat tak mampu nak diagihkan kepada ramai orang. Dalam erti kata lain, hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang akan diberikan zakat. Zakat Fisabilillah terpaksa tolak tepi sebab perlu dahulukan zakat kepada keluarga-keluarga Islam miskin. Akan tetapi Pejabat Zakat usahakan juga tetap beri zakat Fisabilillah dan zakat-zakat yang lain. “Depa duk corek duit tang mana tak tau!” tambah Dato’ Ghazali.
Sebagai seorang bakal penjawat awam, Alhamdulillah aku tak perlu bimbang mengenai pembayaran zakat kerana bahagian zakat tersebut akan dipotong terus dari gaji bulanan aku. Sekurang-kurangnya dengan cara ini membantu aku dan penjawat awam yang lain untuk terus menunaikan zakat. Dato’ Ghazali dalam ucapannya ada menyentuh mengenai potongan gaji bagi pembayaran zakat penjawat awam. Beliau berkata rakyat Malaysia perlu berterima kasih dengan penjawat-penjawat awam di Malaysia kerana tanpa mereka, Malaysia akan ditimba lebih banyak bala dan bencana. Ini sebagai balasan dari Allah S.W.T kerana tidak menunaikan zakat. Aku setuju! Ya Allah! Lalainya hamba-Mu!
Aku rasa adalah menjadi tanggungjawab aku untuk maklumkan kepada Muslimin dan Muslimat yang lain mengenai status pembayaran zakat di Malaysia. Walaupun situasi yang aku ceritakan di atas berlaku di dalam Daerah Kota Kuala Muda, Kedah, tapi aku percaya di negeri-negeri lain juga perkara yang hampir sama berlaku.
Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment