Tuesday, November 16, 2010

Diet wanita Ja-poon

TABIAT makan memang mampu mengubah diri apatah lagi jika rajin meneliti corak pemakanan yang diwarisi secara tradisional di pelbagai pelosok dunia.

Hasil tulisan perunding pemasaran kelahiran Jepun, Naomi Moriyama menerusi bukunya berjudul Japanese Women Don’t Get Old or Fat, menyelongkar petua di sebalik gaya hidup wanita negara matahari terbit itu yang muda bertenaga. Dia bukanlah pengamal diet, tetapi rahsianya mudah saja, menikmati masakan rumah cara Jepun.

Dia juga yakin jangka hayat hidup yang panjang dan kadar obesiti yang rendah di kalangan masyarakat Jepun banyak berkait dengan jenis makanan disediakan di rumah. Membesar di Tokyo dan kini tinggal di New York, Amerika Syarikat, Naomi pernah mengalami pertambahan berat lebih 10 kilogram dengan ketinggian hanya 150 sentimeter ketika menuntut di kolej kerana banyak menikmati makanan Amerika.

Dia dan suaminya kini bertukar kepada cara makan tradisional Jepun. Lebih langsing dan bertenaga, dia berkongsi strategi pemakanannya yang digelar sebagai tujuh rahsia dapur Tokyo. Iaitu:

1) Makanan yang menjadi keutamaan termasuk ikan, soya, nasi, sayur-sayuran dan

buah-buahan.

2) Sajian makanan adalah kecil

3) Sup miso menjadi sajian sarapan utama.

4) Memasak secara sederhana.

5) Nasi menggantikan roti.

6) Hanya menjamah makanan pencuci mulut.

7) Wanita Jepun lazimnya tidak mengamalkan diet sebaliknya hanya makan apa saja yang digemari dalam jumlah sedikit.

Naomi mengakui masyarakat Jepun juga tidak makan hingga kenyang sepenuhnya kerana lazimnya mereka makan hingga 80 peratus kenyang.

Mereka juga banyak berjalan iaitu mereka mengambil peluang untuk berjalan ke mana saja.

“Makanan Jepun memberi tumpuan terhadap tenaga makanan yang dihasilkan dalam saiz yang memuaskan. Tidak perlu masak cara Jepun untuk menikmati asas diet yang menyihatkan, hanya makan lebih ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta tambah beberapa pilihan menyihatkan seperti taufu dan nasi,” kata Naomi.

Menurutnya, keajaiban makan cara Jepun adalah keseimbangan yang menyihatkan dari segi inti makanan serta menyajikan makanan lazat yang rendah kalori. Di samping itu, makanan harus disajikan cantik menerusi jumlahnya yang kecil dalam pinggan kecil molek. “Menerusi cara itu, ia menggalakkan seseorang untuk ‘makan dengan mata’ dengan menikmati keindahan makanan. Hasilnya, kita akan makan dengan perlahan untuk menikmati setiap gigitan. “Ini juga bermaksud, seseorang itu akan makan dalam jumlah yang sedikit kerana ia memberikan masa kepada otak untuk sedar bahawa tubuh kita sudah kenyang,” katanya.

Masyarakat Jepun juga gemar makan sayur. Sayur-sayuran seperti lada benggala merah, lada benggala hijau, kacang hijau, terung, bawang, tomato, kobis, lobak merah, bayam, pucuk rebung, akar teratai, cendawan shitake, kentang manis serta rumpai laut adalah antara yang digemari dalam pemakanan Jepun.

Malah, tiada siapa fikir ia sesuatu yang ganjil apabila mereka menyediakan sup sayur-sayuran atau salad untuk sarapan. Sayur-sayuran itu biasanya disediakan dengan rebusan berperisa, tumis bersama minyak kanola atau dikukus perlahan, semua kaedah itu mengekalkan jumlah khasiat yang maksimum. Ikan seperti salmon, tuna, makerel dan sardin adalah sumber penting asid lemak omega-3 yang dikenali kerana manfaat kesihatannya untuk jantung.

Cuma, diet Jepun mungkin mengandungi sodium yang tinggi, justeru kurangkan pengambilannya terutama di dalam sos soya atau teriyaki atau menggunakan sos berkenaan dalam jumlah yang kecil.

http://ahappysnow.com/rahsia-wanita-jepun-ramping-dan-seksi/

I Suggest You Also Read



No comments:

Post a Comment